Sunday, July 12, 2009

Kg. Kerunai

10 Julai-Buat kali keduanya aku balik pada musim buah. Teringat akan aliran sungai Beruk yang mengasyikkan, suasana kampung yang mendamaikan, udara yang nyaman dan penduduk kampung yang ramah tamah..membuatkan aku menjadi rindu pada Kg.Kerunai. Percutian kali ini sedikit berbeza kerana aku ingin berjumpa dengan anak-anak buahku yang baru berusia hampir 4 bulan.

Aku bertolak dari Butterworth ke Baling mengambil masa hampir 2 jam..dari Baling aku ke Grik pula mengambil masa hamper 1 jam 15 minit. Aku menuruni bas di persimpangan kampung dan berjalan kaki menuju ke rumah ku. Alangkah seronoknya aku melihat pokok-pokok rambutan yang masak ranum di sekeliling perjalanan. Ada yang merah..yang kuning juga turut tidak ketinggalan. Buah durian juga penuh pada dahan-dahan pokok..bergayut-gayut ditiup angin petang itu. Terdapat juga buah rambai dan manggis yang mulai masak seolah-olah mengalu-alukan kedatangan aku ke kampung itu kembali.

Sampai sahaja di halaman rumah, mak tersenyum dan agak sedikit terkejut dengan kepulangan aku. Aku menyandarkan beg yang ku sandang di sofa. Selepas menghulurkan jabatan tangan kepada mak, abah dan adik-adik aku..aku mencium pipi Auna yang comel. Adiknya pula nyenyak dibuai mimpi beralaskan hamparan yang empuk.
Tidak lama kemuadian Kak Ngah pulang dari Grik. Dia mengajakku ke sekolah Wan Muhammad yang merupakan tempat lamanya mengajar setelah ditinggalkannya selama hampir 7 bulan yang lalu. Aku menjadi gelabah seketika. Iyalah..mana tidaknya, Kak Ngah menyuruh aku mendukung salah seorang anaknya. Apa yang harus kulakukan?? Aku bukannya ada pengalaman mendukung bayi..lagi-lagi anak kecil yang baru tidak sampai setahun umurnya.

Nak dijadikan cerita, pada mulanya aku agak kekok juga. Auna pula asyik terlentok ke kanan dan ke kiri. Huh, risau aku dibuatnya. Apa yang aku takuti, si kecil itu akan menangis di dukunganku nanti. Tapi Alhamdulillah setelah hampir 15 minit, aku mulai serasi dan tidak gentar lagi mendukungnya.
Auni pula berada dalam dukungan Kak Ngah. Kami bersama Atirah (adik yang bongsu) ke pejabat di sekolah itu. Sebaik kami tiba, kakitangan yang berada di situ terus menerpa. Masing-masing memeluk,mencium,menimang dan mendukung bayi-bayi comel itu..Auni yang tadinya tidur terbeliak besar matanya seketika. Seronok betul dia apabila ramai yang ingin bermain bersamanya.

Kami pulang ke rumah setelah hampir 1 jam berada di sana.
Petang itu Kak Long sekeluarga juga pulang dari Kangar bersama Syazwan (adik yang ke-7). Bertambah meriahlah suasana rumah kampung separuh batu dan kayu ini dengan kehadiran anak-anak abah yang lain.

Malam itu selepas solat Maghrib, kami sekeluarga makan malam bersama. Wow..kegemaran aku terhidang di depan mata..Sambal tempoyak dan ulam-ulaman…Aku terliur seketika. Lalu cepat-cepat menyenduk nasi ke dalam pinggan. Perut aku berkeroncong rancak seolah-olah memberitahu isyarat yang ia tidak sabar untuk menunggu lagi.. Malam itu selepas makan malam, kami sekeluarga duduk di hadapan televisyen dan bertukar-tukar cerita sesama sendiri.
Aku amat letih sekali. Mungkin disebabkan perjalanan sepanjang hari yang agak jauh. Aku masuk bilik awal dari yang lain. Entah bila waktunya aku terlena. Sedar-sedar sahaja azan Subuh berkumandang dari masjid berhampiran.

Terlalu singkat masa berlalu..hari ini sudah pun hari Ahad. Sepanjang 3 hari aku di sana, mak abah dan adik beradik yang lain memberikan layanan yang baik. Seolah-olah aku juga darah daging mereka yang rapat. Pengalaman menjaga anak-anak kak Ngah pula membuatkan aku tidak dapat melupai gelagat dan aksi si kembar itu. Tersenyum, menangis, tidur dan gelak tawanya…sangat comel sekali kalian berdua!!!!


(Aina Qistina & Auni Qairina)


Aku berasa seronok sekali..sepanjang cuti ini, aku berkesempatan pergi ke majlis kenduri dan bertemu dengan mak-mak angkat sahabat yang lain, makan tengahari di rumah mak Shafiq, dijamu durian, rambutan, manggis dan langsat oleh abah dan mak sekeluarga, dan mengikut abah ke kandang ternakan kambing yang diusahakannya, membuatkan aku terasa berat hati sekali untuk pulang ke kampus. Tapi apakan daya, hari Isnin kuliahku sudah bermula.

Tepat jam 3.00 petang aku bertolak balik menaiki kereta BMW 3 Series milik abang Long sehingga ke Sungai Petani. Kemudian aku menaiki bas ke Butterworth. Seterusnya menaiki Rapid Penang ke Permatang Pauh. Sampi di kampus, jam menunjukan pukul 6.30 petang. Letih sekali kurasakan. Tetapi apabila melihat kembali gambar-gambar yang kurakamkam, rasa letih itu hilang dengan sendirinya. Pengalaman manis sepanjang aku berada disana tidak dapat kulupakan.. terima kasih Mak Abah sekeluarga.

No comments:

Post a Comment